Friday, March 4, 2011

Objek tidak menyenangkan di laman Blok 6F


Assalamualaikum,

Saya ingin menarik perhatian pihak berkuasa dan kontraktor Warna Generasi agar dapat mengalihkan "objek" atau bahan buangan yang kelihatan seperti daun pintu yang secara tidak normalnya diletakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan kediaman kami. "objek" daun pintu dan satu longgok karung yang kelihatan seperti guni itu benar-benar merosakkan pemandangan. Ia kelihatan jelas tersandar di pokok dan kawasan itu terletak dekat benar dengan jalan utama yang mengelilingi fasa 5&6 dan kawasan letak motorsikal.

Keadaan itu disedari oleh penduduk bila mana kami menghadiri satu majlis kenduri doa selamat yang diadakan di dewan Blok 6F, ketika sedang menikmati hidangan makanan di kawasan lobby blok, maka kami telah melihat objek yang kelihatan seperti daun pintu itu. Saya dimaklumkan oleh penduduk dan saya sendiri ada mengambil gambar sebagai bahan rujukan.

Selepas 1 hari dari hari kenduri itu, saya dapati objek itu masih berada di situ dan saya terus menghubungi En.Shahbudin, pengurus prasarana bagi syarikat penyelenggaraan Warna Generasi. Seperti biasa, jawapan yang diberikan berbaur tidak pasti samada objek itu dibuang oleh pihak BPH atau JKR. Tapi, saya telah meminta En.Shahabudin tolong siasat dan selesaikan perkara itu kerana, bagi saya isu itu akan selesai bila ada pihak yang mengangkat dan membuangkan objek terbuang itu.

Malangnya, sehingga malam tadi, saya dapati objek itu masih terletak pada keadaan asalnya dan saya fikir elok saya ajukan sendiri masalah ini kepada pihak JKR dan BPH. Jadi, setelah catatan ini dikemaskinikan..saya akan terus menghantar email dan pautan blog ini akan disertakan bersama-sama email tersebut.

Sekiranya, masalah ini telah selesai, saya akan maklumkan di sini dan jika sebaliknya berlaku...saya akan terus "forward" perkara ini kepada pihak yang berkenaan sehingga ia diselesaikan..."time stamp" aduan bermula sekarang: 12:24pm, Jumaat, 4/3/2011

Mari kita nantikan apa tindakan susulan yang akan dilakukan oleh mereka, samada Warna Genarasi, JKR atau BPH. Sementara itu, mari kita lihat objek yang saya dan penduduk Blok 6F maksudkan.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kemaskini: Sabtu 5/3/2011 3:11am

Berikut adalah "screen shot" email-email yang merujuk kepada respon yang diberikan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
(alamat email dan nama-nama pihak yang terlibat dikaburkan atas tujuan privasi)


Walaupun begitu, sehingga malam tadi, ketika saya sedang berada di lobi Blok 6F, kelihatan "objek" tersebut masih berada di tempat yang sama. Tiada tindakan yang diambil sehingga kini. Saya percaya, keadaan ini pasti akan berlarutan sehingga ke hari Isnin 7/3/2011 kerana berkemungkinan kerja-kerja membersih tidak dapat dijalankan kerana hari cuti Sabtu dan Ahad.

Kami sebenarnya, boleh membuang sendiri "objek" tersebut. Cuma, kami perlu pastikan samada "objek" itu masih bertuan atau tidak. Manalah tahu, "objek" itu masih lagi diperlukan dan menjadi kesalahan pula jika kami membuangnya secara sesuka hati. Cuma, apa yang menyedihkan, cara "objek" itu diletakkan memang menyakitkan mata yang memandang.

P/S: Kami tidak menerima respon kepada email yang kami hantar ke JKR Putrajaya. Setakat ini, cuma pihak BPH sahaja yang menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah ini. Harap Maklum.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kemaskini: Sabtu 5/3/2011 10:30pm

Petang tadi, ketika saya turun ke lobi Blok 6F untuk melihat-lihat persediaan kenduri doa selamat Haji Nazri, saya dapati "objek" aneh yang tersandar di tepi pokok itu telah hilang....

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang telah mengambil tindakan untuk membuang "objek itu.

Saya mewakili Persatuan Penduduk Blok 6F ingin mengucapkan terima kasih di atas respond pantas yang ditunjukkan oleh pihak Badan Pengurusan Hartanah BPH dan syarikat penyelenggaraan Warna Generasi dalam menangani isu ini.

Pastinya, tindakan pantas dan bertanggung jawab pihak anda memberikan kesan positif kepada semua penduduk Blok 6F dan penghuni kuarters kerajaan yang lain dalam usaha untuk memelihara kesejahteraan dan kebersihan di kawasan masing-masing.

Keputusan: Kes ditutup/selesai.






----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi Persatuan
Penduduk Blok 6F, Presint 9,
Putrajaya. Malaysia.

No comments:

Post a Comment