Friday, February 25, 2011

Mesyuarat bersama JKR Putrajaya dan Warna Generasi

Assalamualaikum,

Saya telah dijemput ke satu mesyuarat yang dihadiri oleh pengerusi blok fasa 5&6, JKR Putrajaya dan kontraktor-Warna Generasi. Di sini, saya ingin maklumkan satu berita baik kepada semua penduduk Blok 6F di mana, JKR Putrajaya telah menyediakan satu portal khas e-aduan yang boleh digunakan oleh semua penduduk bagi melaporkan sebarang kerosakan di dalam kediaman anda. Portal ini akan dihubungkan terus kepada JKR Putrajaya dan kontraktor Warna Generasi. Menurut pihak JKR Putrajaya, tahap respon e-aduan ini adalah lebih cepat berbanding dengan kaedah lama(manual/borang).

Apabila sesuatu aduan dibuat, kita akan diberikan satu "nombor tiket" yang menunjukkan bahawa aduan sudah dihantar dan aduan tersebut akan terus ke kotak email/makluman pihak JKR Putrajaya dan kontraktor. Selagi aduan ini tidak dilayan atau diambil tindakan, satu "alert signal" akan sentiasa terpapar di kotak email/makluman tersebut. Signal itu akan hilang setelah pihak kontraktor mengambil tindakan terhadap aduan itu. Nombor tiket yang di-genarate secara automatik itu perlu disimpan bagi tindakan susulan atau sebagai nombor rujukan.

Pada pendapat saya, pendekatan ini sangat baik, cuma sistem ini hanya akan berkesan jika para penduduk Blok 6F mempunyai talian internet di rumah. Walaubagaimanapun, bagi para penduduk yang sudah mempunyai sambungan internet, adalah digalakkan untuk mencuba keberkesanan sistem ini. Portal e-aduan tersebut  boleh diakses melalui URL ini http://www.putrajayakuarters.com/

Di sini, saya ada sediakan beberapa "screen shot" laman e-aduan tersebut. Jika tuan dan puan ada mempunyai sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan saya melalui email  blok6f@yahoo.com atau boleh terus merujuk kepada saya secara offline.



Terima kasih,

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi
Persatuan Penduduk Blok 6F,
Presint 9, Putrajaya.
Malaysia.

Wednesday, February 23, 2011

Pertandingan Mencipta Logo Local Agenda (LA21) Putrajaya- Hadiah wang tunai hampir RM10,000.00 disediakan



Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

Sukacita dimaklumkan bahawa Perbadanan Putrajaya(PPj) akan menganjurkan Program Local Agenda 21 (LA21) di Putrajaya. Program ini memberikan tumpuan kepada kerjasama ataupun rakan kongsi antara PBT, masyarakat dan sektor swasta ke arah pembangunan mampan, di mana jika dilaksanakan bersungguh-sungguh mampu mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan harmoni serta melahirkan sebuah masyarakat yang sihat dan peka kepada isu-isu alam sekitar,sosial dan ekonomi.

Bagi mempromosikan Program LA21 ini, PPj telah bercadang untuk mengadakan Pertandingan Mencipta Logo LA21 Putrajaya. Pertandingan ini terbuka kepada semua warga penduduk yang bermastautin di Putrajaya terutama komuniti, pelajar yang bersekolah di Putrajaya dan kakitangan yang bekerja di Putrajaya. Tarikh tutup pertandingan ini ialah pada 14 Mac 2011.

Borang pertandingan boleh diperolehi dari Pemangku Pengerusi Blok 6F atau melalui laman sesawang http://www.ppj.gov.my/. Segala maklumat dan syarat pertandingan boleh didapati pada borang tersebut.

Hadiah: Pemenang hanya layak menerima satu hadiah sahaja bagi setiap kategori. Peserta yang terpilih sebagai pemenang akan menerima hadiah wang tunai seperti berikut:
  • Pemenang tempat pertama: Bakal menerima RM3,000.00 dan sijil penghargaan.
  • Pemenang tempat kedua: Bakal menerima RM2,000.00 dan sijil penghargaan.
  • Pemenang tempat ketiga: Bakal menerima RM1,000.00 dan sijil penghargaan.
  • Tiga(3) pemenang hadiah saguhati: Bakal menerima RM250.00 dan sijil penghargaan.
Warga blok 6F yang berminat, sila hubungi saya di 012-7744400-Yuzafi, untuk mendapatkan borang penyertaan.

Segala pertanyaan, sila ajukan melalui email blok6f@yahoo.com atau anda boleh "reply post" ini. Anda juga boleh hubungi saya melalui nombor telefon seperti yang tertera di atas.

Terima kasih.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi
Persatuan Penduduk
Blok 6F, Presint 9,
Putrajaya. Malaysia.

Sunday, February 20, 2011

UniFi dari Telekom Malaysia

UniFi internet speed test


Baru -baru nie saya telah tukar perkhidmatan internet saya dari Streamyx ke UniFi VIP5. Sebelum nie saya melanggan pakej streamyx yang 1mbps dan sekarang UniFi pakej VIP5 membekalkan saya dengan kuasa 5mbps.

Memang terasa laju juga speed intenet bila guna pakel UniFi nie. Haruslah... sebab sebelum nie pakej yang saya gunakan ialah 1mbps. Antara kandungan pakej ini yang menarik hati saya ialah terdapat ciri-ciri panggilan percuma ke "land line" Telekom Malaysia. Ini bermakna, anda boleh call saudara mara atau sesiapa sahaja secara percuma jika mereka ada "telefon rumah" atau fixed line. (Pakej Blockbuster Deal Streamyx) rasanya ada kelebihan ini. Di samping itu, dengan UniFi, anda akan dibekal dengan STB(set-top-box) dan boleh menonton IPTV. So, kira oklah kan...sesiapa yang ada Astro dan jarang-jarang tengok TV boleh "consider" untuk tukar kepada UniFi. Siaran TV yang terkandung dalam pakej ini ialah, semua siaran TV malaysia termasuk Kumpulan Media Prima, BERNAMA TV dan ada beberapa siaran lain seperti Channel New Asia, Art Australia dan macam-macam lagi. Di samping itu, anda boleh juga "subscribe" movie, Video-on-demand dan pelbagai lagi ciri-ciri hebat. Kepada anda yang meminati kelab bola sepak Manchester United, bolehlah langgan MUTV yang berharga tak silap saya RM3 atau RM9 sebulan. Kepada peminat kelab-kelab lain macam Chelsea atau Liverpool, buat masa nie belum ada lagi. Lagipun, TM adalah "main sponsor/partner" untuk MUFC.

Jadi, kepada anda yang masih lagi mencari ISP yang baik, saya sangat cadangkan anda untuk melanggan UniFi (saya takde dapat apa-apa komisen pun sebab saya hanya berkongsi yang terbaik sahaja untuk pembaca blog saya). Layari http://www.tm.com.my untuk maklumat lanjut.

p/s: dulu, masa pakai pakej streamy lama, saya bayar bil TM berjumlah RM150++ dan kalau banyak buat call especially call kampung memang bil boleh cecah RM200++. Tapi, dengan UniFi nie, bayar RM149.00 sebulan fixed dan boleh suka-suka hati call orang kampung atau sesiapa sahaja yang ada TM fixed line(bahasa pasarnya=telepon rumah). Jimat, dapat internet laju dan guna WIFI di laptop pun still dapat kelajuan yang sama-mungkin sebab D-link Router-N yang dibekallan percuma oleh TM. Dulu saya guna D-link G Router, hampir separuh speed internet hilang.

Monday, February 14, 2011

Kita bersaudara

Assalamualaikum,

Semoga semua penduduk blok 6F dan pembaca blog ini sihat hendaknya dan terima kasih kerana anda sudi berada di sini.

Pada kali ini, saya ingin menyentuh mengenai satu isu iaitu mengenai perpaduan dan sikap saling hormat menghormati di blok kita. Saya dapati, kebelakangan ini keadaan di blok kita tidak seperti dahulu....kemesraan dan semangat kerjasama semakin berkurangan. Ini ditambah lagi dengan beberapa isu kecil yang tidak sepatutnya diperbesarkan. Saya melihat keadaan ini sebagai tidak sihat dan boleh menghalang kepada banyak projek dan program yang cuba dianjurkan oleh pihak persatuan penduduk.

Saya nasihatkan agar, mereka yang mempunyai masalah atau mungkin ada berlaku sedikit perselisihan faham..agar cepat-cepat berbaik semula...kita tak mahu perkara ini berlanjutan dan akan menjadikan keadaan semakin sukar untuk ditangani. Jika perlu, anda boleh berjumpa dengan para AJK persatuan penduduk atau saya sendiri untuk cuba mencari jalan penyelesaian. Bagi saya, tiada masalah yang tidak boleh di selesaikan.

Kehidupan di blok kita nie sebenarnya ibarat satu keluarga yang besar. Mungkin, ketika anda susah atau sakit, jiran-jiran di sini yang akan menjadi orang pertama yang menghulurkan bantuan berbanding saudara mara yang mungkin berada jauh dari anda.

Jadi, saya harap penduduk di blok kita dapat bersatu hati, tidak kira yang muda atau yang "senior". Marilah kita kembalikan zaman kegemilangan blok kita yang terkenal dengan semangat gotong royong dan mesra di kalangan penduduk Putrajaya.

p/s: Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau aduan mengenai apa jua masalah di blok(kediaman)kita samada melibatkan BPH(Badan Pengurusan Hartanah), PPJ(Perbadanan Putrajaya) atau Warna Generasi(Kontraktor). Sila reply "post" ini atau anda boleh emailkan cadangan dan aduan tersebut ke alamat email ini ~> blok6f@yahoo.com
Nama dan identiti pengirim email akan dirahsiakan



----------------------------------------------------------------------------------------------------------------  
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi
Persatuan Penduduk Blok 6F,
Presint 9, Putrajaya.
Malaysia.

Friday, February 11, 2011

Hantar borang penyertaan segera!!!

Assalamualaikum,

Perhatian kepada penduduk Blok 6F yang ingin turut serta dalam acara sukan/pesta rakyat sempena Hari Wilayah Peringkat Putrajaya 2011. Di minta agar semua borang permohonan dihantar segera bagi mengelakkan anda dan pasukan anda gagal untuk menyertai pertandingan tersebut. Ini kerana, ada sesetengah pertangingan seperti Futsal Terbuka yang mempunyai kuota penyertaan. Ini bermakna, jika anda lewat untuk menghantar borang penyertaan, ada kemungkinan tempat utuk pertandingan tersebut telah penuh.

Untuk mendapatkan borang dan maklumat untuk acara-acara yang akan di adakan sempena Hari Wilayah peringkat Putrajaya, Sila klik di pautan ini ~> http://blok6f.blogspot.com/2011/02/acara-sukan-dan-pesta-rakyat-sempena.html

Jadi, sekali lagi saya ingin ingatkan, hantar segera borang penyertaan anda.

Terima kasih;

 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------  
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi
Persatuan Penduduk Blok 6F,
Presint 9, Putrajaya. Malaysia.

Tuesday, February 8, 2011

Penutupan jalan Persiaran Perdana Presint 2 dari Persimpangan Bangunan/Wisma Keusahawanan (dulu MeCD) hingga ke Bangunan Bahagian Perumahan

Perbadanan Putrajaya

Penutupan jalan Persiaran Perdana Presint 2 dari Persimpangan Bangunan/Wisma Keusahawanan (dulu MeCD) hingga ke Bangunan Bahagian Perumahan (jalan menghala ke Masjid Putra) akan ditutup bermula hari Jumaat 4 Februari 2011 hingga 14 Februari 2011. Ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan kelengkapan dan peralatan logistik sempena Karnival WOW! Putrajaya. Segala kesulitan amat dikesali.

Sumber: Facebook Perbadanan Putrajaya

Sunday, February 6, 2011

Acara sukan dan Pesta Rakyat sempena memeriahkan sambutan Hari Wilayah Peringkat Putrajaya 2011

Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Peringkat Putrajaya 2011, pelbagai aktiviti sukan dan pesta yang melibatkan orang ramai akan diadakan. Berikut adalah acara-acara yang akan berlangsung pada sambutan kali ini.

  1. Pesta Sukan Rakyat- Batu Seremban(terbuka), Congkak(terbuka), Dam Aji(terbuka) dan Karom(terbuka). Setiap peserta hanya dibenarkan meyertai 2 acara sahaja. Tarikh tutup menghantar borang ialah pada 10 Feb.2011
  2. Pesta Air Putrajaya- Perlumbaan Perahu Panjang 10 pendayung. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 16 Feb.2011.
  3. Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Putrajaya- Tarikh tutup penyertaan ialah pada 16 Feb.2011.
  4. Kejohahanan Bola Sepak 9 Sebelah Tertutup Putrajaya-Tarikh tutup penyertaan ialah pada 16 Feb.2011.
  5. Kejohanan Futsal Terbuka Putrajaya Sempena Karnival Wow! Putrajaya 2011-Tarikh tutup penyertaan ialah pada 10 Feb.2011.
  6. Pertandingan Bola Jaring Terbuka Putrajaya 2011-Tarikh tutup penyertaan ialah pada 16 Feb.2011.
  7. Pertandingan Bola Tampar Terbuka Putrajaya 2011- Tarikh tutup penyertaan ialah pada 16 Feb.2011.
Borang-borang penyertaan boleh didapati dari En.Jamal Mat Isa, no.tel: 012-3773314 dan Puan Zaharah Binti Bakar, no. tel: 016-2546020. Segala maklumat dan syarat pertandingan ada tertera di borang-borang penyertaan/pendaftaran bagi setiap acara.

Oleh kerana dijangkakan banyak penyertaan dari para penduduk Putrajaya dan luar Putrajaya(acara terbuka) digalakkan agar anda menghantarkan borang penyertaan selewat-lewatnya sebelum jam 12:00 t/hari pada tarikh tamat penyertaan bagi setiap acara yang ingin disertai.

Sebarang maklumat tambahan, sila hubungi 03-8887-7092/7547/7439/ 03-88877000 sam. 8028 Faks: 03-88875022 atau layari http://www.ppj.gov.my/

Sekian, terima kasih.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------  
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi
Persatuan Penduduk Blok 6F,
Presint 9, Putrajaya.
Malaysia.

Krisis air di Blok 6F





Ketika saya menulis post ini, sudah lebih 5 jam Blok 6F "putus" air dan perkara ini berlaku pada hari Ahad ketika boleh dikatakan semua isi rumah sedang berada di rumah. Perkara ini telah berlaku seingat saya 2 kali dalam jangkamasa 3 bulan. Saya sudah melaporkan kepada pengurus Warna Generasi En.Shahbudin yang menguruskan prasarana di blok kami. Menurut beliau masalah ini hanya akan dapat diatasi selepas 2 jam dari sekarang.

Sungguhpun begitu, keadaan dah menjadi sedikit kelam kabut di mana ada penduduk yang cuba mencari alternatif air di kawasan "ground floor" dengan cara mengambil air dan mengangkutnya mengunakan lif.Ini menyebabkan kawasan di hadapan lif dan di dalam lif telah digenangi air. Perkara ini boleh membahayakan keselamatan awam dan mungkin juga akan berlaku "shot circuit" di dalam lif.

Di harap keadaan ini dapat dipulihkan segera dan tidak akan berulang lagi di masa depan. Pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Warna Generasi dan BPH (Badan Pengurusan Hartanah) perlu mengambil perhatian terhadap isu seperti ini.

Terkini: Jam 6:16pm tadi, En.Shahbudin ada menelefon saya untuk bertanyakan mengenai krisis air di Blok kita dan pada masa itu saya dapati krisis ini telah diselesaikan. Kepada mana-mana penduduk yang masih menghadapi masalah air lagi. Sila berhubung dengan saya segera di talian 012-7744400 (Yuzz).

Tuesday, February 1, 2011

Selamat Menyambut Hari Wilayah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah kepada semua penduduk Blok 6F khasnya dan kepada sesiapa jua yang membaca artikel ini samada dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan.

Saya berasa amat bertuah kerana saya telah memilih untuk melancarkan blog khas untuk Persatuan Penduduk Blok 6F pada tarikh kita semua menyambut Hari Wilayah. Ianya sangat bermakna buat kita semua kerana kita akan tahu bahawa pada setiap 1hb Februari setiap tahun, kita akan menyambut Hari Wilayah beserta hari pelancaran blog kita.

Diharap blog ini dapat merapatkan hubungan di antara kita di samping menyahut seruan kerajaan supaya kita semua peka dengan kemajuan teknologi dan internet. Marilah kita mengoptimakan kemudahan ini dengan sebaiknya dan dengan cara yang betul.

Ya, kita masih muda lagi dan saya pasti, perubahan yang beransur tapi konsisten akan dijalankan bagi menambah baik isi kandungan dan paparan blog kita. Justeru itu, saya sangat berharap agar adanya komunikasi 2 hala di antara blogger dan penduduk setempat agar sesuatu berita dan maklumat dapat disampaikan secara berkesan dan pantas.

Saya juga mengambil kesempatan ini dan berterima kasih kepada anda semua jika mempunyai sebarang komen atau cadangan untuk mempertingkan isi kandungan dan "interface" blog ini. Anda semua boleh "reply" secara langsung di sini atau kirimkan email ke blok6f@yahoo.com


Sekian buat masa ini dan semoga berjumpa lagi di lain artikel.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mohd Yuzafi Bin Yunos
Pengerusi
Persatuan Penduduk Blok 6F,
Presint 9, Putrajaya. Malaysia.